WABAK selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang pertama kali dilaporkan di negara ini 15 Mei lalu, sudah mencatat korban kesembilan semalam. Jumlah yang disahkan menghidap penyakit itu pula meningkat kepada kira-kira 1,500 orang. Walaupun kematian pertama akibat wabak itu di negara ini dicatatkan 23 Julai lalu, angka korban dalam tempoh dua minggu itu memberi isyarat negara perlu lebih bersedia menghadapi ancaman wabak itu. Ketika dunia masih tercari-cari penawar H1N1, kita sebenarnya tiada pilihan selain berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat untuk mencegah jangkitan wabak itu. Kita tidak boleh berdiam diri dan menunggu sehingga ada antara keluarga kita yang dihinggapi wabak penyakit itu, baru mahu bertindak. Kita akui, pelbagai langkah sudah diambil oleh pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan untuk membendung wabak itu. Bagaimanapun, peningkatan berterusan kes jangkitan dan korban jiwa menuntut sesuatu tindakan lebih drastik dilakukan. Kita menghargai usaha pihak berkuasa menguat kuasa perintah kuarantin dan arahan tegas menutup kampus institusi pengajian bagi membendung wabak itu. Apa pula langkah yang harus diambil sektor awam dan swasta. Dengan ancaman penularan yang semakin serius, ketua jabatan di kedua-dua sektor itu harus melakukan sesuatu untuk menjamin keselamatan kakitangan dan anggota keluarga mereka. Pada saat getir seperti ini, sektor swasta perlu mengambil berat soal kakitangan mereka dan tidak memikirkan soal komersial semata-mata. Jika perlu mengeluarkan modal untuk belanja perubatan dan kos pemeriksaan kesihatan, ia perlu dilakukan dengan rela hati. Ini penting bukan saja untuk menjamin keutuhan operasi mereka, malah memastikan mesej meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai terhadap bahaya wabak lebih berkesan. Usaha ini perlu bermula dengan golongan pekerja yang kebanyakannya adalah ketua keluarga.
Melihat senario semasa, tidak keterlaluan disimpulkan bahawa kesedaran masyarakat negara ini terhadap bahaya H1N1 umumnya masih di tahap rendah. Rata-rata kita lihat orang ramai masih meneruskan rutin harian seperti biasa. Hakikat bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan jumlah kes itu kini sudah melepasi paras 130,000 sehingga akhir bulan lalu dengan hampir 1,000 kematian dan mencapai tahap pandemik, tidak membawa kebimbangan kepada mereka. Di pusat membeli-belah, taman, tempat awam malah lapangan terbang pun, jumlah yang mengambil inisiatif perlindungan asas seperti memakai topeng muka, amat sedikit bilangannya. Itu belum lagi diambil kira mereka yang ingkar arahan kuarantin atau enggan membuat pemeriksaan walaupun selepas menghidap sindrom H1N1. Budaya 'tidak kisah' dan 'sudah terhantuk baru terngadah' ini harus diubah segera. Dalam konteks ini, pihak berkuasa perlu segera merumus strategi untuk menimbulkan kesedaran masyarakat. Hari ini, kita dapat lihat dengan jelas bagaimana kerajaan berjaya mewujudkan kesedaran terhadap ancaman denggi, jadi tiada sebab kempen serupa tidak boleh dilakukan terhadap H1N1. H1N1 jauh lebih bahaya daripada denggi dengan nisbah kematiannya 1:200 berbanding denggi yang hanya 1:500. Kita prihatin bahawa usaha mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat tidak seharusnya mencetuskan suasana panik. Matlamatnya ialah untuk memastikan rakyat sentiasa berwaspada. Hanya dengan cara itu, sebarang langkah yang diambil pihak berkuasa dalam membendung H1N1 dapat dijayakan dengan berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan