ibrahim@hmetro.com.my
SIMPANG RENGGAM: “Ramadan, Aidilfitri atau hari biasa, bagi kami semuanya sama kerana sudah biasa hidup susah tiada makanan,” kata Jumak Sinari, 54, menceritakan kedaifan keluarganya sejak empat tahun lalu.
Saban hari, dia bersama isteri, Salbiah Md Jamil, 49, dan tiga anak yang kini menumpang di sebidang tanah berhampiran Taman Rekamas di sini, hanya mampu makan nasi dicampur ubi kayu termasuk untuk berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri.
Menu mereka hanya berubah jika ada insan prihatin memberikan beras dan lauk.
Jumak berkata, kedaifannya bukan saja menyebabkan dia tidak mampu menyediakan bekalan elektrik dan air, malah tiga anaknya kini tidak bersekolah.
“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan, tapi secara tiba-tiba kaki kanan sakit hingga akhirnya tidak boleh memakai kasut sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, selepas dibuang kerja, tiga anaknya, Hanisa, 16, Mohamad Arif, 15 dan Mohamad Arshad, 12, terpaksa berhenti sekolah kerana dia tidak mampu menampung perbelanjaan mereka.
Keluarganya pula terpaksa menumpang tanah orang dengan membina pondok buruk dan menanam ubi kayu.
“Tuan tanah membenarkan kami menumpang dan mengusahakan sedikit tanah untuk menanam ubi kayu dan hasilnya akan dibahagi dua.
“Sehingga kini, itu saja sumber pendapatan kami kerana isteri dan tiga anak tidak bekerja. Tiga anak yang lain sudah berkahwin dan ada menghulurkan bantuan, namun kami faham mereka sendiri menghadapi masalah untuk menyara keluarga masing-masing,” katanya.
Setakat ini, katanya, dia belum pernah meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal kerana tidak tahu caranya.
Salbiah pula berkata, dia pernah ke beberapa agensi kerajaan lain untuk mendapatkan bantuan, namun permohonannya tidak dilayan.
“Saya tak sekolah tinggi, jadi saya tidak tahu macam mana cara nak dapatkan bantuan.
“Hanya baru-baru ini, saya diberitahu boleh mohon bantuan Baitulmal atau JKM tapi tak tahu caranya.
“Sebelum ini saya pernah ke pejabat pihak berkuasa tempatan untuk mohon bantuan tapi saya bukan dibantu tetapi dimarah.
“Berikutan itu, saya berharap sangat pihak yang mempunyai peruntukan dapat membantu kami. Berilah peluang kepada kami meraikan Aidilfitri kali ini seperti orang lain,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati keluarga itu menghuni rumah yang tidak sempurna, malah sebahagian kediaman itu tidak mempunyai atap dan dinding, manakala lantai masih berlubang.